Beliau berkata, peluang bekerjasama dengan industri tempatan merupakan peluang terbaik untuk pembekalan tenaga kerja tempatan dalam bidang hospitaliti sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

“Sebelum ini, kami menjalinkan kerjasama dengan hotel-hotel di Singapura. Saya yakin kerjasama dengan hotel tempatan dapat membantu mengubah persepsi bidang hospitaliti yang sebelum ini dipandang sepi sahaja.

“Di DHS Hospitality Academy, kami tawarkan program latihan yang berkonsepkan penempatan kerjaya dan ianya terbuka kepada semua, ini adalah peluang terbaik untuk membina kerjaya” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Sri Kumar, ketika ini peluang untuk golongan belia mengikuti program hospitaliti masih terbuka termasuk untuk terlibat dalam penempatan kerjaya di Hotel Sun Inns yang baharu dimeterai pihaknya.

“Apa yang menarik ialah, melalui latihan atau penempatan kerjaya di hotel berkenaan, pelajar terpilih akan menerima elaun sebanyak RM500 sebulan selain makanan serta tempat tinggal sepanjang latihan disediakan.

“Bagi pelajar baharu, Hotel Sun Inns juga bersetuju untuk menaja yuran pengajian mereka. Selepas tamat pengajian para pelajar akan menerima sijil yang diiktiraf Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya (UMCCed),” katanya.

Selain itu katanya, program hospitaliti yang ditawarkan pihaknya mengambil masa selama tujuh bulan iaitu sebulan tempoh pengajian di UMCCed dan enam bulan lagi membabitkan latihan dan penempatan kerjaya bersama industri.

Katanya, program hospitaliti diperkenalkan bagi memastikan kadar pengangguran tidak berterusan saban tahun dengan harapan pelajar dapat memenuhi pasaran pekerjaan mengikut kehendak industri.

“Mereka yang menyertai program ini tidak perlu bimbang mengenai keberkesanan program yang ditawarkan kerana 99 peratus pelajar kami mendapat pekerjaan selepas tamat latihan dan rata-ratanya memenuhi permintaan di Malaysia serta Singapura,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Bahagian Pembangunan Kemahiran dan Pendidikan UMCCed, Mohd. Zaki Mohd. Yaacob berkata, pihaknya hanya mengiktiraf dan menjalankan kerjasama dengan DHS Hospitality Academy bagi program latihan penempatan kerjaya dalam bidang hospitaliti.-UTUSAN ONLINE