Single Blog Title

This is a single blog caption
27 Mar

MyBHA Cadang Royalti Muzik Dibayar Kadar Rata

SETIAUSAHA Agung (Pentadbiran dan Sumber Manusia) Persatuan Hotel Budget Malaysia (MyBHA), Emmy Suraya Hussein pada sidang media berhubung permintaan persatuan itu meminta kadar rata bagi kutipan royalti muzik. - Foto Razif Rosli

SETIAUSAHA Agung (Pentadbiran dan Sumber Manusia) Persatuan Hotel Budget Malaysia (MyBHA), Emmy Suraya Hussein pada sidang media berhubung permintaan persatuan itu meminta kadar rata bagi kutipan royalti muzik. – Foto Razif Rosli

Oleh Razif Rosli
cnews@nstp.com.my
Sumber: Berita Harian Online, Selasa, 27 March 2018

 

IPOH: Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) mencadangkan kadar rata RM150 untuk dibayar kepada Music Rights Malaysia Bhd (MRM selaku lembaga pelesenan tunggal untuk mengumpul royalti muzik.

Setiausaha Agung (Pentadbiran dan Sumber Manusia) MyBHA, Emmy Suraya Hussein, berkata sebelum penubuhan badan tunggal itu, pengusaha hotel hanya perlu membayar antara RM5.50 hingga RM12.50 setiap bilik kepada agensi kawal selia kerajaan yang berbeza setiap tahun.

Menurutnya, MRM yang mengutip kutipan royalti di negara ini mencadangkan RM17.50 setiap bilik untuk setahun dari setiap hotel.

“Bagaimanapun, kami sudah menghantar cadangan kepada pihak berkenaan minggu lalu, meminta kadar rata RM150 setahun dari setiap hotel.

“Jadi, kami harap ia dipertimbangkan kerana cara ini lebih mudah dan tidak mengira mengikut kadar berdasarkan bilik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sebelum mesyuarat agung tahunan MyBHA Perak yang diadakan di sini, hari ini.

Pada Januari 2017, MRM mengambil alih pertindihan tugas mengutip royalti pemuzik daripada empat badan pelesenan sedia ada sebelum ini.

Empat badan itu ialah Music Author’s Copyright Protection (MACP), Public Performance Malaysia (PPM), Recording Performers Malaysia (RPM) dan Performers Rights and Interest Society of Malaysia (PRISM).

Sementara itu, Setiausaha Agung (Pentadbiran dan Pasaran China) MyBHA, Denis Ong pula menggesa lebih banyak pengusaha hotel bajet untuk menyertai MyBHA untuk memastikan pandangan mereka dapat disalurkan kepada kerajaan.

“Kita ada 2,350 hotel bajet yang didaftarkan dengan kami (MyBHA) di seluruh negara, dan terdapat lebih banyak hotel dalam pembikinan, jadi lebih baik semua menyertai kami sebagai ahli.

“Apa juga permasalahan yang timbul dalam industri dapat kita kongsi dan beri pandangan untuk memastikan industri ini terus berkembang dan berdaya saing,” katanya.

Leave a Reply