Timbalan Menterinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, jumlah tersebut diperoleh berdasarkan trend peningkatan jumlah pelancong tempatan dan asing pada kadar purata masing-ma­sing sebanyak empat dan 13.6 peratus setiap tahun.

“Bagi tempoh dua tahun akan datang, Motac me­nyasarkan kehadiran kira-kira 36 juta pelancong asing ke Malaysia yang bakal membawa pulangan sebanyak RM168 bilion.

“Sekiranya jumlah itu berjaya dicapai, sebanyak 497,000 peluang baharu pekerjaan menjelang 2020 bakal wujud dalam sektor pelancongan.

“Kementerian akan te­rus memberi fokus serta berusaha me­ngukuhkan lagi perkembangan sektor berkenaan, secara tidak langsung mampu mening­katkan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Ke­tua Penolong Setiausaha Kanan 1, Bahagian Dasar Pelancongan dan Hubu­ngan Antarabangsa Motac, Khairolnizam Saad pada Majlis Makan Malam Persatuan Hotel Bajet Malaysia (myBHA) Melaka 2018 di sini kelmarin.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-pulau negeri, Datuk Ghazale Mohamad; Pengarah Pejabat Motac Melaka, Jeffri Munir; Pengarah Tourism Melaka, Norena Jaafar dan Presiden MyBHA, P.K. Leong.

Mas Ermieyati berkata, beliau juga bangga de­ngan sumbangan yang diberikan MyBHA dalam membantu industri hospitaliti dengan menyediakan perkhidmatan terbaik dan berkualiti kepada pelancong yang berkunjung ke negara ini.

Kajian Penginapan Berbayar yang dijalankan Tourism Malaysia pada 2016 menunjukkan sebanyak 321,972 bilik dan 4,961 buah hotel pelbagai bintang ditempah di seluruh negara dengan purata penginapan selama 5.7 malam.

Angka tersebut melebihi sasaran kadar purata penginapan empat malam.

“Motac sentiasa memberi sokongan penuh kepada mana-mana pihak untuk bersama-sama me­ningkatkan kreativiti serta daya saing dalam sektor perhotelan bajet di negara ini bagi memastikan industri perhotelan negara terus maju,” katanya.