Single Blog Title

This is a single blog caption
8 Feb

Tiada Polisi Larangan Bertudung

DATUK Seri Dr Ismail Muttalib (tengah) bersama Shaharuddin M Saaid menunjukkan dokumen Aku Janji Tiada Polisi Larangan Pekerja Wanita Bertudung di Sektor Perhotelan antara Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dengan Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) dan Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MYBHA) di Putrajaya. – Foto Nursyahirah Marzuki

PUTRAJAYA: Tiga persatuan utama industri perhotelan memeterai aku janji dengan Kementerian Sumber Manusia untuk tidak menetapkan sebarang polisi yang melarang pekerja wanita beragama Islam untuk memakai tudung.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib, berkata persatuan itu adalah Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) dan Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MYBHA).

Katanya, ketiga-tiga persatuan itu mewakili lebih 3,000 hotel yang beroperasi di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Kementerian berbesar hati dengan kesungguhan persatuan berkenaan dalam menyelesaikan isu ini untuk memastikan tiada diskriminasi hak pekerja seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

“Melalui aku janji ini, kita berharap setiap hotel di bawah persatuan itu akan mematuhi perkara yang dipersetujui dan isu larangan bertudung ini tidak lagi timbul,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Sesi Menandatangani Aku Janji Tiada Polisi Larangan Pekerja Wanita Bertudung di Sektor Perhotelan antara Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dengan MAH, MAHO dan MYBHA di sini, hari ini.

Pada majlis itu, JTKSM diwakili oleh Ketua Pengarah, Datuk Mohd Jeffrey Joakim manakala MAH diwakili Presiden, Cheah Swee Hee, MAHO diwakili oleh Pengarah Eksekutif, Shaharuddin M Saaid dan MYBAH diwakili oleh Mohamed Zamri Abd Rashid.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, kerajaan tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang isu yang membabitkan diskriminasi kepada pekerja.

“Sebelum ini, JTKSM turut mengadakan pertemuan dengan Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) serta MAH pada 17 Januari lalu mengenai isu larangan wanita bertudung di sektor perhotelan.

“Hasil daripada kedua-dua pertemuan itu, satu Jawatankuasa Tindakan Pelaksanaan dan Pemantauan bagi menangani isu diskriminasi di tempat kerja ditubuhkan di peringkat kementerian.

“Ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan keharmonian perindustrian di negara ini terus terpelihara,” katanya.

Sejak Disember lalu hingga kini, kementerian sudah melaksanakan pemeriksaan kepada lebih 600 hotel di negara ini bagi memastikan tiada diskriminasi berlaku.

“Pemeriksaan berkanun ke atas majikan sektor perhotelan akan terus dipertingkat dari semasa ke semasa untuk memantau komitmen pihak hotel, khususnya bagi memastikan tiada polisi larangan pekerja wanita bertudung wujud di tempat kerja.

“Selain itu, kita juga meminta JTKSM mengadakan beberapa sesi dialog bersama pengurus sumber manusia sektor perhotelan seluruh negara untuk menjelaskan dan mendapatkan komitmen mereka supaya polisi larangan bertudung dan isu diskriminasi lain di sektor perhotelan tidak termaktub dalam prosedur operasi standard (SOP) masing-masing,” katanya.

Leave a Reply